Pedoman

Artikel-artikel ini dikumpul sebagai pedoman untuk diri-sendiri dan kalian yang sudi menjengah ke blog ini, sama-samalah kita renungi dan menghayatinya...

Dugaan

Saudara,
Setiap kali kita berbicara berkenaan dengan dugaan orang yang beriman, kita seringkali diberitahu dugaan orang yang beriman cukup berat. Lalu kita diberikan contoh-contoh dugaan yang dihadapi oleh Nabi Muhammad SAW dan sahabat-sahabat baginda. Kita ditanamkan terus dengan cerita-cerita bahawa alim ulama sebelum kita terpaksa bersusah payah menghadapi dugaan mereka.
Cerita-cerita dugaan orang yang beriman ini sedikit sebanyak menanamkan satu persepsi di dalam fikiran kita bahawa kita juga pasti akan diduga dengan dugaan yang berat jika kita ingin menjadi orang yang beriman. Tidak kurang juga ramai yang tidak mahu beriman kerana bimbang dengan dugaan yang berat yang bakal menimpa.
Kesilapan bertahun-tahun di atas persepsi ini membuatkan beriman itu seolah-olah menyusahkan iaitu pasti akan menempuh dugaan yang besar. Namun realiti dan hakikatnya tidak begitu.
Kita terlupa atau tidak sedar bahawa sebenarnya kehidupan Rasulullah SAW dan sahabat-sahabat baginda cukup bahagia dan tenang. Baginda dan sahabat tidak pernah mengeluh dengan semua dugaan yang dihadapi kerana keyakinan kepada Allah SWT cukup kuat dan kukuh.
***
Persepsi yang selalu dikatakan hanyalah persepsi kepada yang melihat. Kita melihat dugaan orang yang beriman adalah cukup hebat dan berat. Tetapi bagi orang yang beriman itu, hakikatnya mereka menghadapi dugaan dengan cukup tenang dan dugaan itu tidak langsung memberikan apa-apa masalah dalam kehidupan mereka.
Seharusnya kita melihat hal ini dari persepsi orang yang beriman itu sendiri. Maka sebenarnya dugaan yang dihadapi oleh orang yang beriman itu sebenarnya hanyalah kecil atau langsung tidak dinamakan dugaan bagi orang yang beriman itu. Semuanya adalah ketentuan Allah SWT yang kita perlu lalui dengan berserah, pasrah dan redha.
Maka tidak perlulah kita bimbang dengan dugaan yang datang apabila setiap hari kita ingin berada dekat dengan Allah SWT. Semakin kita hampir dengan Allah SWT, semakin kukuh keyakinan kita kepada ketentuan Allah SWT. Kita akan berasa semakin ringan dugaan yang menimpa walaupun mereka yang melihat dugaan yang kita hadapi merupakan dugaan yang besar.
Semoga setiap saat, iman kita semakin bertambah. Amin

Sumber: http://www.fuadlatip.com/